10.29.2011

Huraikan teori kejadian manusia dan fungsi kejadian manusia mengikut al-Quran. (karangan penuh)

(Melalui rujukan buku Longman Tamadun Islam STPM dan laman web Sejarah STPM)




Huraikan teori kejadian manusia dan fungsi kejadian manusia mengikut al-Quran.

            Kamus dewan edisi terbaharu mendefinisikan manusia sebagai makhluk berakal, berfikiran, berperasaan, bernaluri, bernafsu, serta beremosi dan mempunyai perilaku tersendiri mengikut budaya setempat. Mengikut teori Darwin, manusia adalah berasal daripada monyet dan akhirnya berubah mengikut peredaran masa. Namun begitu, teori ini tidak tepat setelah dirujuk kepada al-Quran tentang kejadian manusia. Manusia tergolong dalam kumpulan mamalia yang boleh berfikir. Oleh itu, manusia diklasifikasikan sebagai haiwan peringkat tertinggi. Berdasarkan bukti arkeologi, manusia telah wujud sejak Zaman Air Batu (Plestosen). Manusia terawal dikenali sebagai Neanderthal yang menetap di Eropah, Asia, dan Afrika. Allah S.W.T telah mengurniakan akal kepada manusia. Jadi, manusia boleh berfikir dengan waras dan mencipta pelbagai peradaban kehidupan. Akal adalah anugerah yang tertinggi daripada Tuhan di mana akallah yang membezakan manusia dengan makhluk lain. terdapat beberapa teori dan fungsi kejadian manusia mengikut al-Quran. (3m)
            Kejadian manusia menurut Islam adalah bersandarkan keterangan dalam al-Quran sebagai kitab wahyu Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W di mana isi kandungannya tidak pernah berubah. Manusia menurut al-Quran merupakan makhluk yang dikurniakan akal, roh, dan juga jasad. Istilah manusia dari sudut bahasa bermaksud al-Ins, al-Insan, al-Nas dan al-Basyar yang merujuk manusia itu diamanahkan oleh Allah S.W.T. sebagai khalifah di muka bumi. Dengan kata lain, manusia adalah pemerintah, pemilik dan pengguna bagi semua kejadian sama ada di darat, di laut mahupun di udara. Lima elemen penting kejadian manusia untuk menggerakkan tubuh iaitu jasad, roh, akal, nafsu dan hati. Manusia adalah kejadian Tuhan yang paling unik dan istimewa ciptaanNya berbanding kejadian dan kehidupan lain di atas muka bumi ini.
Menurut al-Quran, semua manusia berasal daripada keturunan nabi Adam dan Adam pula berasal daripada tanah. Nabi Adam A.S. telah diciptakan oleh Allah S.W.T. daripada tanah seperti yang dijelaskan dalam surah as-Sajadah, ayat 7 yang bermaksud: “Dialah yang mencipta sesuatu itu dengan sebaik-baiknya dan memulakan ciptaan manusia daripada tanah (at-tin)”. Manusia biasa selain Hawa dan Nabi Isa dijadikan daripada tujuh peringkat iaitu air mani, segumpal darah, seketul daging, pembentukan tulang, tulang dibalut daging, kemudian menjadi lembaga yang lengkap dan akhirnya ditiupkan roh. Allah S.W.T. telah menciptakan manusia dengan penih kesempurnaan agar manusia mampu menjadi khalifah yang baik di atas di atas muka bumi ini dan mematuhi segala suruhan-Nya seperti yang dijelaskan dalam al-Quran. Surah ads-Dzaariyat, ayat 56 yang bermaksud: “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.”Setelah manusia dihidupkan, manusia ditentukan empat perkara iaitu hidup, mati, rezeki dan jodoh. (10m)
            Manusia diciptakan di atas muka Bumi ini oleh Allah S.W.T adalah untuk menjadi khalifah iaitu pemimpin dan hal ini ada dinyatakan dalam kalam Allah iaitu al-Quran. Antara peranan manusia sebagai khalifah di muka Bumi ini adalah untuk beribadat kepada Allah S.W.T.  Beribadat kepada Allah merupakan fungsi utama manusia diciptakan. Sehubungan dengan itu, Islam telah menggariskan beberapa jenis ibadat yang perlu dilaksanakan oleh manusia sama ada dalam bentuk fardhu ain mahupun fardhu kifayah. Ibadat fardhu ain merupakan ibadat yang perlu dilakukan oleh setiap individu yang menepati syarat-syarat yang telah ditentukan. Contoh fardhu ain ialah sembahyang, puasa, menunaikan zakat, menunaikan haji bagi yang berkemampuan dan lain-lain lagi. Ibadat fardhu kifayah pula merupakan ibadat yang sekiranya dilakukan oleh individu atau kumpulan tertentu, maka individu dan kumpulan yang lain tidak lagi wajib untuk melaksanakan perkara tersebut. Contoh fardhu kifayah ialah melakukan sembahyang jenazah, berniaga, mengajar dan sebagainya.
            Selanjutnya, fungsi kejadian manusia menurut al-Quran juga adalah untuk memelihara alam sekitar. Manusia perlu memelihara alam ini dengan sebaik-baiknya. Allah telah menciptakan alam ini untuk kepentingan manusia seluruhnya. Oleh itu, manusia boleh menggunakan ciptaan ini bagi meneruskan kehidupan mereka di dunia. Walaubagaimanapun, manusia tidak boleh sombong dan leka dengan nikmat dunia. Manusia perlu menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah S.W.T. dengan menggunakan alam ini hanya untuk perkara-perkara yang membawa kebaikan sahaja. Manusia tidak sepatutnya melakukan kerosakan di muka bumi ini sehingga membawa keburukan kepada manusia atau makhluk lain termasuklah binatang.
Bukan itu sahaja, manusia juga diciptakan Allah untuk saling mengenali sesama manusia. Manusia hendaklah mengenali antara satu sama lain tanpa mengira bangsa, agama mahupun keturunan. Tujuan Allah menciptakan manusia dengan pelbagai puak adalah supaya mereka dapat mengenali antara satu sama lain. manusia tidak boleh berbangga diri, sombong, riak dan takbur. Sebaliknya, mereka hendaklah sentiasa berbaik-baik dan bersatu-padu di dalam menghadapi sebarang masalah. Perbezaan agama juga tidak boleh dijadikan alasan untuk manusia bermusuhan. Islam hanya membenarkan penganutnya memusuhi orang bukan Islam sekiranya mereka dengan jelas menunjukkan penentangan ataupun sekiranya mereka cuba untuk membahayakan orang-orang Islam. Dalam keadaan biasa hubungan baik perlu dikekalkan di antara mereka.
Selain daripada memelihara alam ini, manusia juga berfungsi untuk memakmurkan muka bumi ini supaya mereka dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik. Akal dan pancaindera yang dikurniakan kepada manusia hendaklah digunakan untuk meneliti dan berfikir bagi memanfaatkan semua ciptaan yang sedia ada. Banyak rahsia kejadian Allah yang boleh disingkap oleh manusia dengan menggunakan akal yang telah dikurniakan. Contohnya, di sebalik kejadian tumbuh-tumbuhan terdapat pelbagi jenis penawar. Di dasar lautan juga terdapat pelbagai khazanah, begitu juga di dalam perut bumi. Manusia yang menggunakan sepenuhnya akal yang dikurniakan sahaja akan dapat menikmati semua ini. Hal ini bukan sahaja memberi faedah kepada dirinya, malah untuk orang lain juga.
Manusia yang diciptakan Allah S.W.T. perlulah mentauhidkan atau mengesakan Allah sebagai pencipta. Manusia tidak boleh menyekutukan Allah malah tinadakan ini sangat dilarang. Manusia ditegah sekeras-kerasnya untuk melakukan sebarang bentuk perbuatan yang boleh membawa kepada syirik atau menyekutukan Allah. Syirik merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar yang tidak akan diampunkan oleh Allah melainkan dengan sebenar-benar taubat iaitu taubat nasuha. Bagi mengelakkan berlakunya syirik, manusia perlulah mengenali Allah. Manusia boleh mengenali Allah melalui sifat-sifatNya. Allah memiliki 20 sifat yang wajib diketahui oleh manusia.
Fungsi manusia yang seterusnya adalah untuk mentadbir  ataupun menjadi khalifah di muka bumi ini. Fungsi ini sesuai dengan kedudukan manusia sebagi makhluk yang paling sempurna dan yang terbaik. Manusia hendaklah sentiasa bersikap adil sama ada terhadap dirinya sendiri dan juga orang lain. manusia hendaklah memastikan tidak berlaku kemungkaran di muka bumi ini sebaliknya hendaklah memastikan berlakunya kebaikan. Hal in sesuai dengan tugas yang diamanahkan oleh Allah iaitu Amar Makruf Nahi Mungkar di mana manusia disuruh untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. (10m)
Kesimpulannya, manusia mempunyai tanggungjawab yang sangat besar dan sekiranya manusia dapat melaksanakan melaksanakan tanggungjawab mereka, maka mereka dapat hidup dengan penuh kebahagiaan. Jika manusia tidak dapat melaksanakan tugas sebagai khalifah di muka bumi ini dengan sebaiknya, maka kemusnahan dan huru-hara pasti tidak dapat dielakkan. (2m)

No comments: